KUALA LUMPUR - Selangor kekal menerajui carta persaingan bola sepak Liga Super dengan mengekang Perlis tanpa jaringan di Stadium Utama Negeri, Kangar manakala Kelantan kian merapati kedua-dua pasukan teratas itu, malam tadi.
Mengumpul 48 mata daripada 21 perlawanan, Gergasi Merah yang juga juara Piala FA dan Piala Sultan Ahmad Shah musim ini, masih teratas untuk meninggalkan Singa Utara hanya dengan kelebihan dua mata.
Sayap kiri kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin mengukir hatrik minit ke-34, 51 dan 74 untuk Kelantan membelasah negeri kelahirannya, Perak 4-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu di samping satu gol Nor Farhan Muhammad (m-69).
Namun Wira Merah bimbingan Peter Butler, kini memungut 40 mata daripada 13 kemenangan dan seri sekali selepas mengharungi 21 perlawanan, masih kekurangan enam mata berbanding Perlis.
Kedah yang masih dihantui igauan kalah teruk di Hanoi pada aksi Piala AFC, bagaimanapun mengikat tuan rumah KL PLUS tanpa jaringan pada perlawanan yang dicemari sedikit pergaduhan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Terengganu pula meneruskan kemarau kemenangan liga buat Polis Diraja Malaysia apabila menundukkan tuan rumah 4-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban dengan dua jaringan Ashaari Samsudin, Manaf Mamat dan Azlan Ismail.
Johor FC turut memintas Negeri Sembilan yang sebelum ini di tangga kelima liga setelah tuan rumah bimbingan Ramlan Rashid membenam anak buah Wan Jamak Wan Hassan itu, tiga gol tanpa balas di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
UPB-MyTeam pula tidak terjejas dengan kemelut kewangan kelab hingga tidak akan menyertai Piala Malaysia musim ini, apabila menumpaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Petaling Jaya menerusi gol Stanley Bernard dan Norshahrul Idlan Talaha.
sumber : Utusan Malaysia
0 orang mengomen:
Post a Comment