..........Selangor kekal terajui Liga Super


AMRI (kiri) dikasari pertahanan Perak pada aksi Liga Super di Ipoh malam tadi.


SELANGOR terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Bekas pemain Perak, R. Surendren menjadi wira Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan itu.

Begitupun, rentak perlawanan kedua- dua pasukan agak seimbang pada separuh masa pertama yang menyaksikan mereka memiliki peluang sama rata untuk menghasilkan jaringan tetapi dinafikan penyudah yang hambar.

Penyerang Perak, Razali Umar Kandasamy juga hilang sentuhannya dan ia dilihat menjejaskan peluang Perak untuk merobek gawang lawan.

Pada separuh masa kedua, rentak kedua-dua pasukan mula berubah.

Kali ini, Selangor lebih banyak menguasai permainan dengan asakan bertali arus ke gawang lawan.

Usaha mereka berhasil pada minit ke-49 menerusi percubaan Surendren yang melepasi jangkauan penjaga gol Perak, Kamarul, Kamarul Effandi Abd Rahim.

Selangor hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-53 menerusi rembatan Mohd. Amri Yahyah tetapi berjaya ditepis oleh Kamarul.

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan, sekali gus membolehkan Selangor terus berada di puncak liga.

Pada perlawanan lain, Kedah menewaskan Negeri Sembilan 3-0 sementara PDRM tunduk 0-2 kepada KM Naza.

Kelantan kembali garang apabila membelasah UPB-MyTeam 3-0 di Kota Bharu sementara Perlis mudah menjinakkan Pahang 3-1 di Kuantan.

Johor FC pula berpesta gol apabila memusnahkan Pulau Pinang 5-0 dan Terengganu pula dimalukan KL Plus 2-0.

sumber: KOSMO

0 orang mengomen: