SELANGOR berjaya merampas kembali tangga teratas Liga Super selepas menewaskan Kedah 3-1 di Stadium Shah Alam malam kelmarin tatkala pendahulu sebelum ini, Perlis tewas 0-2 kepada Terengganu.
Biarpun ketinggalan 0-1 menerusi jaringan pemain tengah Kedah, Ahmad Fauzi Shaari pada masa kecederaan separuh masa pertama, Selangor bangkit meledak tiga gol pada babak kedua.
Kapten Selangor, Amri Yahyah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-55 menerusi satu rembatan kencang dari jarak 30 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.
Selangor selepas itu mendahului 2-1 pada minit ke-62 setelah bola sepakan Safee Sali dari sebelah kiri berjaya ditanduk masuk Rudie Ramli.
Pemain gantian, Amirulhadi Zainal melengkapkan malam cemerlang Selangor apabila berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Hardi Jaafar yang cuba ditumbuk keluar Helmi untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-87.
Saingan Liga Super akan berehat selama tiga minggu untuk latihan skuad bawah 23 tahun kebangsaan dan apabila bersambung kelak, Selangor akan bertemu Perak di Stadium Perak, Ipoh pada 16 Jun depan.
SELANGOR:
21-Hamsani Ahmad, 3-Razman Roslan (19-D.Surendran), 5-Khairul Anuar Baharom, 6-Nasriq Baharom, 4-Asraruddin Putra Omar, 23-R.Surendren (20-Amirulhadi Zainal), 14-Hardi Jaafar, 17-Amri Yahyah (c), 28-C.Premnath, 9-Rudie Ramli (25-Fazilidin Khalid), 10-Safee Sali.
sumber: Kosmo!
0 orang mengomen:
Post a Comment