KUALA LUMPUR - Selangor menafikan peluang pasukan lain untuk merampas kedudukan pendahulu Liga Super dengan menjadikan UPB-MyTeam mangsa belasahan mereka apabila menang 4-1 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-30 melalui pemain tengah, Mohd Hardi Jaafar sebelum penyerang berbisa Red Giants, Mohd. Safee Sali meledak dengan gol kedua pelawat pada minit ke-50.
UPB-MyTeam membalas dengan gol menerusi Khaironisam Sahabudin pada minit ke-66 tetapi C.Premnath memusnahkan sisa-sisa perjuangan tuan rumah dengan menambah dua lagi gol buat Selangor pada minit ke-69 dan 76.
Kemenangan besar Selangor itu sekali gus menutup peluang Perlis untuk kembali menguasai puncak liga walaupun mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Johor FC di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan Azri Shahril Azmi pada minit ke-65 selepas mendapat umpanan Ridzwan Othman.
Kelantan turut mencatat kemenangan untuk kekal dalam perebutan kejuaraan liga musim ini dengan menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.
Walaupun pada satu ketika dua kali ketinggalan, namun Kelantan berjaya bangkit penuh semangat untuk memperoleh gol menerusi Ahmad Azlan Zainal (m-21), Mohd. Badri Radzi (m-48) dan Zairul Fitree Ishak (m-65).
Sementara dua gol Pahang yang dibimbing jurulatih Dollah Salleh disumbangkan oleh Mohd. Azimuddin Akil pada minit ke-18 dan 42.
Sumber: Utusan Malaysia
0 orang mengomen:
Post a Comment